Atatürk: Mencari Makna Di Balik Gelar



Mustafa Kemal Pasha atau lebih terkenal dengan gelaran Atatürk (Bapa Orang Turki) merupakan satu nama yang tidak asing dalam wacana tamadun pasca penjajahan imperialis di wilayah Asia Barat. Beliaulah persona yang menjadi watak utama dalam swakaryanya dalam penubuhan Republik Turki di samping pemansuhan sistem Khilafah Turki Usmaniah tanggal 3 Mac 1924 dan memegang tampuk pemerintahan republik itu sebagai Presiden Pertama.

Terdapat dua karya biografi mengenai negarawan Turki moden ini yang telah selesai aku tekuni yakni Dari Sultan Hingga Atatürk Turki yang diterjemahkan daripada karya asal berbahasa Inggeris bertajuk From The Sultan to Atatürk: Turkey hasil tulisan Dr Andrew Mango. Buku ini menceritakan detik-detik peralihan kuasa pemerintahan wilayah Turki daripada naungan Kesultanan Usmaniah kepada kerajaan Ankara yang berakar umbi pada Büyük Millet Meclisi (Dewan Himpunan Agung Kebangsaan) pimpinannya di samping penglibatan Empayar Turki Usmaniah dalam Perang Dunia Pertama dan penyertaannya dalam beberapa siri perjanjian damai bernama Perjanjian Sèvres dan Lausanne. Karya ini turut mengisahkan kejayaan Tentera Turki dalam Perang Gallipoli yang menyaksikan ketokohan Atatürk terserlah sebagai salah seorang pegawai Angkatan Tentera Turki berpangkat Kolonel sebelum memerintah tentera yang bernaung di bawah kerajaan Ankara semasa Perang Kemerdekaan Turki.

Sebuah lagi karya yang turut dibawa ke layar perak ialah filem Veda (Perpisahan/Farewell) yang berkisar pada riwayat hidup beliau sejak kecil di Thessaloniki, Greece (sebahagian daripada wilayah pegangan Empayar Turki Usmaniah dahulu), kemasukan ke akademi tentera, menjadi pemimpin Angkatan Tentera Turki dalam beberapa siri pertempuran, menggerakkan Dewan Perhimpunan Kebangsaan/Kerajaan Ankara dan penubuhan Republik Turki sehinggalah saat ia menghembuskan nafas terakhir di Istana Dolmabahçe, Istanbul pada jam 9.05 pagi tanggal 10 November 1938 yang dikarang oleh Salih Bozok, bekas ketua pembantu peribadi/adikong/aide-de-camp beliau yang saling berhubungan rapat sejak zaman kanak-kanak mereka di Thessaloniki sebelum berjaya difilemkan.

Dasar-dasar permodenan radikal yang diperkenalkan olehnya pasca penubuhan Republik Turki semisal penukaran laungan azan berbahasa Arab kepada bahasa ibundanya, larangan pemakaian tarbus/fez, penutupan masjid dan madrasah serta penukaran bentuk aksara Bahasa Turki asal dalam skrip Arab kepada huruf Latin seringkali diutarakan terutamanya dalam perbincangan berkaitan sejarah Turki moden. Perkara-perkara sedemikian tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memutuskan sebarang pertalian budaya dengan zaman Kesultanan Usmaniah yang mengecewakan Atatürk apabila gagal mengekalkan kedaulatan wilayah naungannya sehingga turut mengancam ibu kotanya sendiri iaitu Istanbul dan hanya membiarkannya tersimpan dalam lipatan sejarah.

Ya!

Tidak dinafikan, tindakan beliau itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perkembangan syiar Islam yang bertapak sekian lama di bumi al-Fateh itu khususnya tatkala monumen agung Hagia Sophia turut diisytiharkan menjadi muzium daripada berperanan sebagai sebuah masjid sejak peristiwa pembukaan Kota Konstantinopel (Islam Bol/Istanbul kini) pada tahun 1453. Dasar-dasar beliau yang kelihatan keterlaluan itu telah mencabut cahaya hidayah Islam dari hati-hati rakyat Turki dengan bertukar kiblat ke arah pemikiran Enam Anak Panah (Altı Ok)/Kemalisme/Atatürkisme yang berlandaskan enam prinsip iaitu kerepublikan, kebangsaan, kenegaraan, populisme, laisisme/sekularisme dan reformisme. Fahaman ini masih berpengaruh di Turki dan sangat dijunjung tinggi oleh pengikut karya politik sulungnya iaitu Parti Rakyat Republik/Cumhuriyet Halk Partisi (CHP) yang merupakan parti pembangkang utama dalam Parlimen Turki kini di samping kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang ditunjangi oleh Parti Keadilan dan Pembangunan/Adalet ve Kalkınma Partisi (AKP).

Kisah romantik hidupnya turut diketengahkan dalam filem biografi ini. Ada dua orang sosok wanita yang menjadi pendampingnya sepanjang memimpin gerakan kemajuan dan kemerdekaan Turki iaitu Fikriye Hanım dan Latife Uşaklıgil. Fikriye sangat kagum dengan persona bernama Mustafa Kemal ini sehinggakan ia sanggup menjadi suri rumah di kediamannya di Ankara. Atatürk menemui suri hati keduanya yakni Latife ketika di Izmir dan wanita ini merupakan seorang yang terpelajar kerana ia mahir berbahasa Inggeris dan Perancis di samping pernah mendapat pendidikan di Perancis. Namun, Zübeyde Hanım, ibu kandung Atatürk pernah berpesan kepada teman rapatnya, Salih Bozok supaya ia tidak berkahwin dengan Latife kerana firasat keibuannya yang mengatakan bahawa rumah tangganya tidak akan bahagia jika mereka berkahwin.

Ternyata hal itu adalah benar!

Setelah mereka melangsungkan perkahwinan, Latife menjadi semakin sombong dengan orang gaji dan pembantu di kediaman mereka di Ankara. Pada mulanya, Atatürk hanya banyak bersabar dengan kerenah isterinya itu dan telah menegurnya beberapa kali sehinggalah pada suatu ketika, Latife memalukan Atatürk di hadapan tentera pengawalnya dan natijahnya, Mustafa menceraikan suri hatinya itu dan kekal menduda hingga ke akhir hayatnya. Meskipun beliau turut dikenali sebagai juara pemartabatan taraf wanita apabila memberikan hak pendidikan dan melibatkan mereka dalam urusan pentadbiran negara sebagai ahli Dewan Perhimpunan Kebangsaan, tetapi sayangnya, kelihatan ia tidak mampu menjadi panglima gagah yang memimpin isterinya dalam urusan rumah tangga. 

Aku berpendapat bahawa wanita yang berpendidikan dan berpelajaran turut menjadi aset penting dalam pembinaan keluarga bersama suaminya. Kedua-duanya sudah tentu saling memerlukan antara satu sama lain dan tidaklah salah jika mereka saling memerah keringat dalam urusan rumah tangga seperti memasak dan mengemas rumah. Tetapi, seperkara yang perlu kita renungkan ialah masing-masing mestilah sedar akan tanggungjawab hakiki dan hak sebagai suami dan isteri yang mesti ditunaikan dalam memastikan ketenteraman rumah tangga tidak tergugat oleh ego dan kesombongan mana-mana pihak tidak kira sama ada suami mahupun isteri. Mereka juga perlulah terus setia serta saling menyokong antara satu sama lain dalam merealisasikan Baitul Muslim yang bersifat Sakinah, Mawaddah wa Rahmah. 

Walaupun hematku terhadapnya tidak berubah yakni tidak bersetuju dengan beberapa pendekatannya dalam memodenkan Turki terutamanya yang melibatkan urusan agama kendatipun selepas menekuni dua karya biografi mengenainya, hanya satu perkara yang aku mula faham mengenai sebab kenapa ia bertindak sedemikian rupa. Hal itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membebaskan tanah Turki serta rakyatnya daripada terus dicengkam oleh penjajah atas angin durjana. Pada pendapatku, mungkin pada saat itu, hanya dengan pendekatan halus iaitu melalui penerimaan budaya Barat dalam aspek pemerintahan dan cara hidup masyarakat Turki sahajalah yang akan memastikan kedaulatan Turki terjamin daripada terus diancam para kolonialis semisal British dan Perancis sejajar dengan matlamatnya agar bangsa Turki mencapai dan melangkaui tahap peradaban sezaman yang diutarakan dalam amanatnya ketika sambutan ulang tahun republik ke-10.

Tuntasnya, aku rasakan itulah makna di sebalik gelaran Atatürk yang dikatakan layak diberikan kepadanya tatkala ia berjaya menyelamatkan bangsa Turki daripada terus menongkah arus penjajahan seumpama Muhammad Ali Jinnah, tokoh kemerdekaan dan penubuhan Pakistan yang bergelar Quaid-e-Azam (Pemimpin Agung). Doaku semoga Turki akan menjadi salah satu kuasa besar yang mewakili Dunia Islam moden di samping tanah airku, Malaysia, Pakistan, Indonesia dan negara-negara Muslim yang lain.

#bizbirummetiz #demialifbata

RUJUKAN

Mango, A. 2009. Dari Sultan Hingga Atatürk Turki. Terj. Alina Abdullah. Rawang: Awal Nahdah Resources.
Veda. 2010. Filem biografi. Turki: Kamera Film.

Comments

Popular posts from this blog

A Small Adventure on Uncle Sam's Land 5.0

A Small Adventure on Uncle Sam's Land 2.0