Warkah Buat 'Alma Mater'ku

1/12/2015 
                  Assalamualaikum W.B.T. Alhamdulillah, aku telah berjaya menamatkan pengajian peringkat menengahku di Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya dan bergelar Alumni SAS. Peperiksaan SPM baru sahaja berlalu setelah aku menghadapi kertas 3 Biologi semalam. Semasa aku mengemaskan barangan peribadiku, sukar untuk diriku mengungkapkan perasaan yang aku rasai. Semuanya bercampur baur. Gembira....Sedih.... Bukan mudah bagiku untuk meninggalkan sekolah yang kusayangi lagi sanjungi ini. Sekolah yang telah berjaya melahirkan ratusan insan yang menjadi tokoh dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Sekolah yang telah banyak mengajarku erti kehidupan di dunia yang fana' ini. Semasa aku berada di sekolah rendah, sememangnya SASlah pilihanku untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah. Tidak ku sangka, lima tahun sudahpun berlalu. Terkenang aku kembali memori kehidupan di asrama. Bangun pada awal pagi...Bersiap dan melangkah dengan penuh semangat untuk menimba ilmu pengetahuan... Pada zaman ini, ilmu merupakan tunjang utama bagi seseorang untuk berjaya dalam kehidupannya. Tidak semestinya keputusan peperiksaan menentukan kejayaan seseorang tetapi hanyalah umpama tiket yang ditempah untuk meneruskan pengajian di menara gading. Kejayaan seseorang itu tidak hanya terletak pada kejayaan dalam akademik, tetapi akhlak dan keperibadiannya juga memainkan peranan yang dominan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang merealisasikan hasrat negara seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Mungkin Alam Shah tidak membuatku berjaya dalam akademik, tetapi Alam Shah berjaya mendidikku tentang erti kehidupan sebagai persiapanku menghadapi mihnah dan ujian yang hebat lagi mencabar kini. Kasih sayang...Hormat menghormati...Toleransi... dan paling utama, berusaha menjadi hamba yang taat akan perintah Yang Maha Esa. 

 


Suasana Alam Shah pada waktu senja
                      Antara kenangan yang terindah yang tidak akan kulupakan adalah semasa aku menjadi AJK Badan Ugama Sekolah Sultan Alam Shah (BUSAS) dari tahun 2012 hingga tahun 2015 (F2-F5). Banyak perkara yang telah aku pelajari terutamanya ilmu-ilmu agama di samping kepimpinan dan pembangunan modal insan. Elemen ini sangat penting untuk diambil berat oleh sekalian AJK BUSAS yang akan meneruskan perjuangan iaitu berkhidmat untuk Umat Alam Shah pada masa hadapan. Semasa aku menjadi pelajar tingkatan Tiga, aku telah dilantik selaku Timbalan Presiden Kerohanian BUSAS Sesi 2013/2014 semasa Muktamar Sanawi (Mesyuarat Agung Tahunan) pada 1 Ogos 2013M bersamaan 23 Ramadhan 1434H.

 
Sesi Penyerahan Tugas Timb. Pres. BUSAS daripada Saudara Aizat
                        Aku tidak menyangka akan dipilih untuk menyandang jawatan ini sedangkan aku berasakan bahawa ada lagi AJK yang lebih layak berbandingku. Tetapi sokongan dan semangat yang padu yang ditonjolkan oleh rakan-rakan seperjuangan, aku bersemangat untuk terus berkhidmat kepada umat. Semasa aku berada di SAS, banyak program pembangunan modal insan yang telah aku laksanakan dengan bimbingan Puan Hajah Masariah serta para asatizah SAS di samping program yang dianjurkan oleh pihak luar. Program yang dijalankan ialah Program Ihya Ad-Din (Menghidupkan Agama) SAS yang sejajar dengan pelancaran Program Kepimpinan Ulul Albab SAS. Antara program yang dijalankan ialah Program Tahfiz Alam Shah, Daie Muda, Jalinan Tahfiz Bestari SAS-MTNP, Imarahkan Jumaat, 'Thought' SGE, Kembara Munajat Syabab serta Malam Alam Shah Berselawat. Program-program ini bertujuan untuk melahirkan Pemuda Alam Shah yang bersifat At-Tawazun (seimbang) dalam ilmu dunia dan akhirat. 



                        Tambahan pula, aku juga tidak menyangka akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Pelajar SAS yakni jawatan kedua tertinggi sekolah bagi pelajar. Aku masih ingat semasa namaku diumumkan untuk menyandang jawatan ini. Tiada kalam yang dapat kuungkap kerana tanggungjawab ini sangat berat  ini diamanahkan oleh pihak sekolah pada diriku. Tetapi fikrah perjuanganku tetap sama. Pembangunan Modal Insan tetap diutamakan! Hal ini adalah kerana senario masa kini yang memperlihatkan kebejatan sosial dalam kalangan remaja sekolah yang semakin parah saban hari. Aku tidak mahu Pemuda Alam Shah menjadi penyumbang kepada kehancuran generasi muda. Oleh sebab itu, perkara ini sering aku tekankan semasa berpeluang untuk berbicara di hadapan umum (semua pelajar) mahupun kelompok kecil (usrah). Hal ini kerana aku berpendapat bahawa PEMUDA adalah TONGGAK KEBANGKITAN UMMAH seperti yang diungkapkan oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Realiti hari ini, anak muda sudah terpengaruh dengan budaya hedonistik yang mengutamakan keseronokan hidup berbanding mempersiapkan diri untuk menghadapi kehidupan ukhrawi. Contohnya, K-POP dan EDM (Electronic Dance Music). Aku tidak berkata bahawa hiburan adalah salah di sisi agama tetapi haruslah difahami bahawa hiburan yang dibenarkan oleh Islam hanyalah hiburan yang tidak menjadikan kita lagha (leka) daripada menjalankan syariat Islam. Justeru, di sini ingin kutinggalkan beberapa pesanan yang boleh dijadikan pedoman Pemuda Alam Shah yang masih meneruskan perjuangan di SAS...

                             Pesanan yang pertama ialah HORMATILAH GURU-GURU KITA. Saya berpendapat bahawa semua guru SAS adalah guru yang terhebat yang pernah saya jumpa. Hal ini adalah kerana pengorbanan mereka amatlah besar dalam usaha untuk membentuk pelajar yang cemerlang dalam segala aspek. Akademik...Kokurikulum...dan Sahsiah. Hargailah jasa dan pengorbanan mereka. Datanglah ke kelas lebih awal daripada mereka sebagai tanda hormat akan mereka dan berilah sepenuh perhatian terhadap pengajaran mereka di dalam sekolah untuk semua subjek.

                    Selain itu, SEIMBANGKANLAH ANTARA ILMU DUNIAWI DAN AKHIRAT. Jangan kita tinggalkan mana2 satu kerana inilah modal kita untuk hari akhirat kelak iaitu Ilmu yang diamalkan. Sejarah yang tercatat memperlihatkan kegemilangan tamadun Islam pada zaman silam yang berjaya melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang. Oleh sebab itu: 
  • Kalau ingin menjadi doktor, jadilah seperti Ibnu Sina yang berjaya mencipta picagari dan menemui pelbagai ubat-ubatan untuk banyak penyakit di samping menguasai hafazan Al-Quran. 
  • Jika ingin menjadi jurutera, jadilah seperti Al-Haitham yang berjaya mencipta kanta (lenses) yang digunakan untuk kamera pada hari ini dan Al-Zarqali yang membina Patio de los Leones (air pancut) di Istana Alhambra, Granada, Andalus.
  • Kalau ingin menjadi saintis, jadilah seperti Jabir Ibn Hayyan yang menemui bahan kimia H2S04 iaitu 'sulphuric acid' yang juga menguasai ilmu agama
  • Dan jika ingin menjadi pakar matematik, jadilah seperti Al-Khawarizmi yang menemui Algebra dan Geometric Progression (G.P) dan Al-Biruni (tokoh astronomi Islam) yang menemui Trigonometry seperti yang kita belajar dalam Matematik mahupun Matematik Tambahan (bagi pelajar SPM)...
                               Pesanan yang ketiga juga yang terakhir adalah buat para pemimpin pelajar terutamanya PENGAWAS, BUSAS, PRS dan SGE BRIGADE... Pimpinlah Pemuda Alam Shah sebaik mungkin kerana andalah pemacu perubahan sekolah ke arah yang lebih baik. Tunjukkanlah suri teladan yang terbaik yang akan menjadi ikutan mereka. Sesungguhnya, kegemilangan Alam Shah terletak pada kewibawaan pemimpin pelajarnya...

                                Akhirul kalam,  ingin kuucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan buat semua GURU SAS sama ada yang pernah mahupun tidak pernah mengajarku tetapi telah mendidikku agar menjadi insan yang berguna dan para Anggota Kumpulan Pelaksana yang banyak membantu kami di asrama dan sekolah serta AJK PIBG SAS yang telah banyak memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan sokongan moral. Begitu juga dengan para rakan sebayaku, WARRIORS 1115... Selamat Maju Jaya dalam kehidupan masing-masing dan semoga kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM 2015. Tidak dilupakan para senior yang memberi tunjuk ajar (WARRIORS 0711, JERKS 0812, FIGHTERS 0913 dan PIRATES 1014) dan terima kasih juga diucapkan buat 'The Juniors' yang memberikan kerjasama dan sokongan yang padu semasa diriku menyandang jawatan pemimpin pelajar iaitu JERKS 1216, FIGHTERS 1317, PIRATES 1418 dan WARRIORS 1519. Maafkan diriku andai daku ada terlanjur bicara dan tingkah laku...Buat pelajar senior, sayangilah junior anda dan yang pelajar junior, hormatilah senior anda....Teruskan berusaha untuk memenuhi dada dengan pelbagai ilmu sebagai bekalan hidup kita di dunia dan akhirat. Semoga kita semua berjaya menjadi tokoh di persada negara yang akan kembali berbakti kepada SEKOLAH SULTAN ALAM SHAH yang tercinta ini...Tetapi harus kita ingat:
Usah Berkata Ingin Mengubah Andai Diri Kita Masih Belum Bermuhasabah, Jangan Berkata Ingin Membuat Reformasi, Andai Diri Kita Masih Belum Membuat Refleksi, Tetapi Marilah Kita Bangkit Wahai Pemuda! Bebaskan Pemikiran Yang Sempit
                              
Sekian, Wabittaufiq Wannajah. Assalamualaikum W.B.T.
Ahmad Amsyar Bin Ahmad Effendy
Mantan Timbalan Ketua Pelajar SAS 2015

Comments

  1. Assalamualaikum amsyar �� ni merupakan post pertama abg kat blog kamu dan akan bertambah, InshaaAllah.

    Hebat pencapaian kamu ni. Tashabar nak tengok kamu masuk Uia. Hehe. All the best abg ucapkan. Moga terus sakti!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Terima kasih atas sokongan dan semangat yang diberikan :D

      Delete

Post a Comment

Ruangan Pembaca

Popular posts from this blog

Atatürk: Mencari Makna Di Balik Gelar

A Small Adventure on Uncle Sam's Land 5.0

A Small Adventure on Uncle Sam's Land 2.0