Demi Satu Perjuangan III

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat sahabat-sahabat pembaca..
Sekian lama blog ini tidak dikemaskini lantara kesibukan dalam menjalani kehidupan seharian...

Inilah Varsiti Kita...
Ditengahkan hasrat rakyat kita...
Dari mula untuk semua...
Bagai tanda perjuangan kita...

Inilah bait-bait lirik lagu 'Varsiti Kita' yang menjadi pembakar semangat untukku meneruskan perjuangan menuntut ilmu yang juga merupakan lagu rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)..

UKM dari pandangan udara (Kredit: @ukm_my)
Setelah menamatkan pengajian Asasi Undang-undang di Pusat Asasi UiTM, aku telah mendapat dua tawaran untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-undang. Pada mulanya, keputusan tawaran ke UiTM telah keluar terlebih dahulu dan telah membuat persiapan yang rapi untuk melanjutkan pelajaran ke sana. Namun, aku sedikit pun tidak menyangka bahawa aku juga ditawarkan oleh UKM dalam bidang pengkhususan yang sama dan keputusannya pun keluar pada saat-saat akhir. Setelah berfikir masak-masak dan beristikharah memohon petunjuk daripada-Nya, aku membuat keputusan untuk menerima tawaran UKM dan menolak tawaran ke UiTM. 

Walau bagaimanapun, berat hati rasanya untuk menolak tawaran UiTM kerana tidak dinafikan, Fakulti Undang-undang (FUU) UiTM merupakan antara fakulti perundangan yang berprestij di Malaysia. Namun begitu, aku teringat semula saat-saatku mengisi borang UPU untuk lepasan SPM dulu, aku bertekad untuk menjadikan UKM sebagai pilihan kedua selepas UIA kerana silibus pengajiannya yang seimbang iaitu dengan menawarkan subjek-subjek perundangan Sivil dan Syariah. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan peluang untuk menuju wawasanku oleh-Nya...

Bangunan Baharu Fakulti Undang-undang (FUU) UKM

Bergambar selepas selesai hari pertama berkuliah
Setelah seminggu lebih berkelana menimba ilmu di sini, sememangnya UKM mempunyai kebitaraan dan keistimewaannya yang tersendiri. Mana tidaknya, varsiti inilah yang ditubuhkan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan untuk digunakan sebagai bahasa pengantar dan ilmu. Walaupun masih terdapat rakyat Malaysia yang mempunyai stigma negatif terhadap UKM kerana melaksanakan dasar ini, tetapi percayalah, UKM kini juga bergerak sederap dengan peredaran zaman yang tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa-bahasa asing. Oleh sebab itu, hampir kesemua kursus di UKM juga menggunakan Bahasa Inggeris di samping itu Bahasa Melayu bagi memastikan graduannya setanding dengan lulusan institusi-institusi pendidikan tinggi yang lain terutamanya dalam bidang perundangan.

Tuntasnya, aku sedar bahawa perjuanganku dalam menimba ilmu belum selesai. Amanah sebagai seorang mahasiswa yang dipikul mestilah aku tunaikan dan laksanakan sebaik mungkin bagi memastikan peluang yang dikurniakan tidak disia-siakan begitu sahaja. Selain itu, di sini saya juga ingin mengucapkan 'Selamat Menimba Ilmu' buat sahabat-sahabat yang menyambung pengajian di IPT tempatan mahupun luar negara. Hargailah setiap ruang dan peluang yang ada dan manfaatkanlah untuk kebaikan diri, keluarga, agama, bangsa dan tanah air. Akhirul kalam, semoga Allah mempermudahkan urusan kita dalam berjihad menuntut ilmu. Bi Iznillah!

#SalamPerjuangan
#MahasiswaBitara
#DemiAlifBaTa
#UKMPendaulatAmanahNegara
#GuardianOfTheNation

Fatih Ahmad
12/9/2017
Kolej Ibrahim Yaakub
UKM Bangi

Comments

Popular posts from this blog

Atatürk: Mencari Makna Di Balik Gelar

A Small Adventure on Uncle Sam's Land 5.0

A Small Adventure on Uncle Sam's Land 2.0