Cetusan Kalbu: Harapkan Suapan
Mutakhir, dunia kian dihambat arus Revolusi Industri Keempat, menjadi pentas tanah-tanah air tidak kira di atas angin mahupun di bawahnya untuk menjuarai perlumbaan kecanggihan teknologi yang tidak berkesudahan ini. Tidak dinafikan, nusa yang kita cintai juga tidak mahu ketinggalan kerana manfaat yang kita terima hasil usaha kejar-mengejar dengan negara-negara lain dalam arena ini juga tidak kurang banyaknya. Tuntasnya, senario ini menggambarkan dunia tanpa sempadan yang mampu diteroka seluasnya walaupun sekadar di layar Google Chrome mahupun Opera dan tidak hanya boleh didapati di dalam Khutub Khanah semata-mata...
Namun begitu, kepesatan teknologi maklumat hari ini juga menatijahkan daya fikir kita semakin dangkal dari hari ke hari...
Kerana apa?
Penyakit mengharapkan suapan.
Sewajarnya, apabila kita telah dipermudahkan urusan untuk mendapatkan berbagai-bagai maklumat di hujung jari, tidak perlulah setiap perkara diharapkan untuk "disuap" semuanya. Kadangkala, maklumat yang telah pun diterima secara JELAS ditanya dan ditanya lagi..
Hal ini kelihatan semakin menjadi epidemik dalam kalangan kita di Malaysia khususnya mahasiswa. Sebagai penuntut ilmu,
SAMPAI BILA kita mahu mengharapkan SETIAP perkara untuk disuap oleh insan lain dan ditadah oleh kita?
SAMPAI BILA kita hendak mengharapkan SEMUA persoalan yang sudah terang lagi bersuluh dijawab berulang-ulang kali?
SAMPAI BILA kita mahu jadi begini?
Teman-teman sekalian,
Sedarlah!
Menuntut ilmu tidak hanya berdasarkan mendengar kalimat-kalimat yang meniti di bibir para pensyarah semata-mata..
Malahan, menekuni lembaran-lembaran dalam surat khabar, kitab, buku di samping melayari Internet juga merupakan salah satu jalan untuk memudahkan liku-liku perjuangan yang tidak bernoktah ini.
Akhirul kalam, USAHLAH asyik bertanyakan jawapan bagi sesuatu persoalan tanpa sebarang usaha untuk mencari dan menyelidik maklumat yang ada kalanya sudah terjawab secara tersurat mahupun tersirat. Tambahan pula, bukan semua orang mahu melayannya..
Melainkan..
Jawapan yang diperoleh hasil USAHA SENDIRI itu MASIH KURANG JELAS dan memerlukan PENCERAHAN...
Akhirul kalam, marilah kita bersama-sama memperkasakan keupayaan diri kita dan tidak asyik berharap orang lain untuk membantu kita...
Kerana apa?
Ketahuilah bahawa hanya Dialah sebaik-baik penolong seperti yang dinyatakan dalam dalil al-Furqan yang berbunyi:
حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَڪِيلُ
Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).
-Ali Imran: 173-
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk peringatan mesra kita bersama dalam menggalas tanggungjawab sebagai Hamba dan Khalifah-Nya di atas muka bumi ini.
Sekian.
Yang masih menekuni,
Fatih Ahmad.
Comments
Post a Comment
Ruangan Pembaca