Ulasan Karya: Seruan Lelaki Budiman
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat-Nya kerana diri ini masih terus dikurniakan nikmat Iman, Islam dan lain-lain yang tidak terkira banyaknya.
Hari ini, sebuah karya baru terbit telah berjaya saya tekuni dalam masa dua minggu yang bertajuk Seruan Lelaki Budiman yang diinspirasi daripada kisah-kisah yang dinukilkan oleh seorang pujangga, alim dan sasterawan iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA). Buku ini bukanlah salah sebuah mahakarya beliau, tetapi hanyalah mengandungi rencana-rencana yang berasaskan riwayat hidup Permata Nusantara ini. Antara tajuk rencana yang dihimpunkan dalam buku ini ialah Ulama Penuh Romansa, Roman Si Bujang Jauh, Insan Budiman, Kerana HAMKA Aku Mengembara, Legasi Seorang Ulama kepada Anaknya, Pengaruh Alam dalam Mencetak Lelaki Seperti HAMKA, Mencari Lelaki Pembela Perempuan dan Lelaki Tangguh. Para penulis telah merujuk beberapa mahakarya HAMKA untuk membincangkan sisi baik insan ini terutamanya dari segi pembentukan lelaki budiman seperti Ayahku, Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Merantau Ke Deli. Walaupun terdapat beberapa swakarya beliau yang mengutarakan pendapat dan saranannya buat kaum Hawa seperti Kedudukan Perempuan Dalam Islam dan Buya HAMKA Berbicara tentang Perempuan, tetapi beliau tidak menafikan kepentingan pembinaan lelaki budiman dan idea dan falsafahnya banyak diketengahkan secara tidak langsung dalam karya-karya agung beliau seperti yang dinyatakan di atas.
Pada hemat saya, isi-isi perbincangan yang dimuatkan dalam buku ini sungguh mengujakan dan menusuk kalbu diri ini. Melihat pada tajuknya saja sudah menarik minat saya untuk menekuni buku ini sedalam-dalamnya dalam mencari erti sebenar rangkai kata Lelaki Budiman. Mana tidaknya, marcapada, kelompok kaum Adam seperti inilah yang dicari-cari bagi melindungi kelangsungan kehidupan umat manusia di atas muka bumi ini.
Di sini terdapat beberapa petikan yang menarik untuk dikongsi bersama para pembaca:
1. HAMKA menyukai lelaki-lelaki tangguh (kuat) yang faham akan tugas dan kewajipannya yakni lelaki yang luas wawasan dan memiliki maruah atau harga diri, bukannya lelaki yang hanya pandai berpangku tangan dan mengharap iba (riba) daripada orang lain (Khairil Miswar, 2018).
2. Pada zaman ini, kebanyakan perempuan memilih untuk membimbing diri sendiri bukan sahaja kerana sedar akan tanggungjawab diri, tetapi juga lantara TIADA lelaki yang boleh diharapkan untuk melindunginya lagi (Zahrah Yunos, 2018).
3. Menjadi budiman bukanlah dengan mengejar apa yang dikatakan "moden" yang bersela-sela dengan kemungkaran. Mencapai makna budiman bahkan wajar dilandaskan dengan tradisi, batas pantang halang agama dan kebenaran (Budiman Mohd Zohdi, 2018).
4. Sejarah itu perlu dihayati dengan rasa cinta. Dengan melihat sendiri kesan sejarah, datanglah ilham dan suburlah semangat untuk menyumbang kepada bangsa. Gemilang silam sudah berlalu, sudah tiba masanya untuk kita melukis dan mengukir gemilang baru (Syed Azharul Asriq, 2018).
Tuntasnya, himpunan penulisan yang diinspirasikan daripada riwayat hidup sang pujangga bangsa ini wajar ditekuni oleh kita khususnya para pemuda yang mempunyai semangat dan jati diri yang kukuh dalam menerjang arus dugaan yang kian mencabar dari hari ke hari. Akhirul kalam, sekalung ucapan tahniah buat Komuniti Jejak Tarbiah atas penerbitan buku ini dan semoga riwayat hidup tokoh tersohor ini dapat disebarluaskan dan dikembangkan dalam kalangan anak-anak muda hari ini agar menjadi azimat yang menyalakan api perjuangan.
Yang Masih Menekuni,
Fatih Ahmad.
Lampiran Gambar:
![]() |
| Muka Hadapan Buku |
![]() |
| Pak Afif HAMKA sedang menurunkan tandatangan pada Buku Seruan Lelaki Budiman |
![]() |
| Tandatangan dan titipan doa daripada Pak Afif |
![]() |
| Bergambar kenang-kenangan bersama Pak Afif HAMKA, Putera Buya HAMKA Kesembilan |




Comments
Post a Comment
Ruangan Pembaca