Warkah Buat Tanah Airku
Wahai Malaysia Tanah Airku..,
61 tahun sudah kau wujud di atas muka bumi ini, setelah bebas daripada asakan dan seksaan dek pendudukan penjajah durjana. Bermula ketika kedatangan Portugis, Belanda, Inggeris hinggalah ke zaman pendudukan empayar Matahari Terbit, rakyatmu sentiasa dirundung malang dan sering menangisi pemergian insan-insan tersayang yang terkorban dek kekejaman kolonialis-kolonialis ini.
Alhamdulillah, dengan keazaman dan tekad pemimpin-pemimpin negara prakemerdekaan di samping sokongan padu daripada anak-anak watan, penjajah Inggeris akhirnya tunduk dengan desakan kita seterusnya melepaskan engkau daripada terus dibelenggu olehnya. Tanggal 31 Ogos 1957, dengan laungan 'Merdeka' oleh Bapa Kemerdekaan kita dan diikuti dengan kalimah Panggilan Kejayaan, Jalur Gemilang dinaikkan setelah bendera penjajah Union Jack diturunkan.. Menjadi lambang kebebasan Semenanjung Emas ini sebelum disatukan dengan Sabah dan Sarawak di samping Temasek walaupun bercerai juga akhirnya...
Kini, engkau semakin membangun dan masih bergerak dalam usaha mengejar kemajuan seiring dengan arus globalisasi ini. Tatkala itu, gelombang materialisme turut menghambat dirimu mahupun rakyat jelatamu sehingga menyebabkan nilai-nilai murni dan kekukuhan jati diri mereka kian luntur...
Ketika para pemimpin dan rakyat negara-negara atas angin itu mengalunkan kalimah 'God Bless America' mahupun 'God Save The Queen'..
Aku hairan...
Apabila terdapat segelintir daripada anak-anak watan kita ini ingin memisahkan prinsip pertama Rukun Negara daripada sistem pemerintahan dan ideologimu..
Aku juga kaget...
Tatkala Jalur Gemilangmu dicacatkan warnanya apabila ditukarkan mengikut warna ular danu, disertakan nawaitu untuk mempromosikan "tamadun" songsang itu.. kononnya atas nama "kebebasan" dan "kebanggaan"..
Aku turut terkilan...
Ketika melihat generasi pemelihara kedaulatanmu diracuni pemikirannya dengan budaya hedonisme melampau yang mengikut acuan budaya negara-negara atas angin itu..
Akhirul kalam, aku berdoa agar engkau terus dilindungi oleh-Nya daripada ancaman neo-kolonialisme seperti ini yang dalam diam, mencari-cari lubang sempit untuk merobek kedaulatanmu... Semoga engkau juga sentiasa dilimpahi rahmat dan berkat oleh Dia Yang Maha Berkuasa di samping rakyat jelatamu dapat hidup dengan aman dan damai tanpa diganggu-gugat oleh petualang-petualang yang masih bersembunyi dalam kalangan anak-anakmu.
Terima Kasih Tanah Airku...️
Yang Masih Menekuni,
Fatih Ahmad.
31 Ogos 2018
Seremban, N9.
#luahanhatiseoranganakmerdeka #demialifbata #sayangimalaysiaku #AllahRahmatiMalaysia
![]() |
| Aku bangga menjadi anak watan bertuah ini! #SayangiMalaysiaku #Merdeka61 |
![]() |
| Pada waktu inilah, aku berkesempatan untuk memanifestasikan cintaku terhadapmu... #ikrarrukunnegara #Malaysia...DisiniLahirnyaSebuahCinta #Merdeka57 |


Comments
Post a Comment
Ruangan Pembaca