Mehmed II: Pemuda Muslim Unggul

[TERBITAN SEMULA]

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

‘Akan dibuka Kota Konstantinople itu, sebaik-baik raja, itulah rajanya, dan sebaik-baik tentera, itulah tenteranya’

Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam telah mencatatkan kisah seorang pemuda yang berjaya mengubah hala tuju dunia hari ini.

Tahukah anda siapakah gerangan anak muda itu? 

..

..

..

Ya!

..

..

Dialah Sultan Muhammad Al-Fateh!


Potret baginda (Sumber:https://quatr.us/)


LATAR BELAKANG

Baginda diputerakan pada 29 Mac 1432 dan dinamakan Muhammad (Mehmed dalam Bahasa Turki), mewarisi nama nenda baginda iaitu Muhammad Celebi (Mehmed I) serta Rasulullah SAW. Nama ayahanda baginda ialah Sultan Murad II manakala bondanya bernama Huma Hatun. Semasa zaman kanak-kanak dan remajanya, baginda telah diasuh dan dididik dengan pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti hafazan Al-Quran, ilmu-ilmu agama, pemerintahan, strategi peperangan, sains, matematik, sejarah dan sebagainya. Baginda mendapat bimbingan agama daripada dua orang ulamak besar Usmaniah iaitu Syeikh Mollah Gorani dan Syeikh Ak Syamsuddin. Di samping itu, baginda juga menguasai bahasa-bahasa utama dunia ketika zamannya seperti Arab, Turki, Greek, Latin, Ibrani (Hebrew) dan Parsi. Dengan kelebihan-kelebihan inilah, baginda telah memanfaatkannya sepanjang zaman pemerintahan baginda setelah ditabalkan sebagai Sultan Turki Usmaniah yang Ketujuh bagi menggantikan ayahandanya pada usia 19 tahun.


SUMBANGAN DALAM HIDUPNYA KEPADA TAMADUN ISLAM

Dalam catatan Sejarah Islam, baginda telah berjasa dalam membuka pintu untuk laluan dakwah Islamiah ke Eropah melalui pembukaan Kota Konstantiniah atau Constantinople dalam Bahasa Inggeris yang merupakan pusat pemerintahan Empayar Rom Timur (Byzantine) yang menganut agama Kristian bermazhab Ortodoks. Wawasan baginda ini adalah berdasarkan hasrat untuk merealisasikan hadis Nabi Muhammad SAW seperti yang diterjemahkan dan dinyatakan di atas. Sebelum memulakan misi tersebut, baginda telah membuat kajian mengenai kegagalan misi-misi pembukaan yang dilaksanakan oleh tokoh-tokoh Muslim dahulu seperti Abu Ayyub al-Ansari, Saidina Umar Al-Khattab bahkan ayahanda baginda sendiri. Baginda memulakan misi tersebut pada tanggal 6 April 1453 dengan persiapan yang rapi. Terdapat tiga strategi utama yang dilaksanakan oleh baginda dalam menjayakan matlamatnya iaitu:


1. Membina Tembok Rumeli (Rumeli Hissari) di sepanjang tebing Selat Bosphorus yang memisahkan Benua Eropah (tempat dibinanya tembok ini) dengan Benua Asia untuk tujuan menghalang bantuan daripada pihak Katolik Rom dan Eropah kepada Kota Konstantiniah


Tembok Rumeli Hissari yang masih teguh berdiri sehingga hari ini (Sumber: https://upload.wikimedia.org/)

2. Menggunakan jalan darat untuk mengangkut kapal-kapal perang Usmaniah dari Selat Bosphorus ke Tanduk Emas (Golden Horn), sebatang sungai yang bersambung dengannya. Terdapat seutas rantai besi sebesar pemeluk yang menghalang kapal-kapal tersebut daripada memasuki Tanduk Emas dan baginda bertindak bijak dengan mengarahkan bala tentera lautnya untuk mengangkut kapal di Bukit Galata yang membolehkannya menyerang bahagian terlemah kota tersebut

Gambaran pemindahan kapal-kapal perang Usmaniah ke Tanduk Emas melalui Bukit Galata (Sumber: www.pinterest.com)

3. Berkerjasama dengan seorang saintis berbangsa Hungary, Orban untuk mencipta meriam-meriam gergasi yang mampu merobek tembok kota tersebut yang sedalam dua meter


Gambaran reka bentuk Meriam Orban yang disasarkan ke arah tembok Konstantinople (Sumber:europebetweeneastandwest.files.wordpress.com)

Dengan izin Allah SWT, baginda dan bala tenteranya berjaya membuka kota itu pada 29 Mei 1453 setelah mengepungnya selama 54 hari dan mendapat gelaran Al-Fateh (Sang Pembuka).

KENAPA MASYARAKAT PERLU MENGENALI BAGINDA?

Pada zaman permodenan kini, kita dapat lihat bahawa masih ramai insan terutamanya yang memeluk agama Islam masih belum mengenali susuk tubuh yang telah berbakti kepada agama kita yang suci ini. Senario ini adalah kerana masyarakat belum tahu sepenuhnya dengan pengisahan mengenai baginda walaupun pernah diterbitkan menerusi media massa mahupun media cetak di negara kita. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana jika dibiarkan tanpa usaha-usaha untuk meluaskan penceritaannya, masyarakat kita khususnya anak-anak muda akan hilang contoh ikutan pemuda yang unggul yang mewarisi nama Rasulullah SAW. Ketika usia inilah, kita harus memanfaatkannya untuk bersiap siaga bagi menghadapi dugaan dan cabaran yang mendatang dengan meneladani tokoh-tokoh anak muda seperti baginda, Usamah bin Zaid, Zubair al-Awwam, Hang Nadim dan lain-lain. Natijahnya, penghayatan kisah-kisah merekalah yang mampu menjadi azimat untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air yang tercinta ini.

Selain itu, masyarakat kita juga mungkin tidak tahu akan nama yang pernah digunakan untuk merujuk kepada kota tersebut setelah dibebaskan oleh baginda. Ketika usahanya itu berhasil, baginda menamakan semula Kota Konstantiniah kepada ‘Islam Bol’ yang membawa maksud Islam Keseluruhannya. Hal ini adalah untuk menggambarkan kota tersebut sebagai pusat penyebaran agama Islam. Hari ini, kita mengetahui nama kota Istanbul tetapi belum tentu kita tahu mengenai kepentingannya sebagai ibu kota Kerajaan Turki Usmaniah bagi menggantikan ibu kota lamanya iaitu Edirne sebelum dipindahkan ke Ankara ketika zaman kepresidenan Mustafa Kamal Ataturk, Presiden Pertama Republik Turki Moden.

PENGAJARAN BUAT MASYARAKAT HARI INI

Seterusnya, terdapat banyak ibrah atau pengajaran yang boleh diteladani dan dihayati oleh umat Islam pada hari ini. Menerusi kisah baginda, para pemuda Muslim haruslah berusaha untuk menuntut ilmu sebanyak yang mungkin. Dalam dunia ini, banyak sekali ilmu pengetahuan yang telah mahupun belum diterokai yang harus dimanfaatkan bagi menjamin kesejahteraan hidup umat manusia di atas muka bumi ini sejajar dengan peranan kita sebagai khalifah Allah SWT. Martabat setiap bidang ilmu hendaklah diangkat tinggi tanpa mengkhususkan disiplin ilmu tertentu yang kononnya dikatakan mampu membawa kemajuan duniawi sedangkan bidang-bidang ilmu lain juga mempunyai kepentingan masing-masing yang tidak boleh dipandang enteng. Natijahnya, kita mampu mempersiapkan diri untuk menjadi pelapis kepimpinan negara dengan penguasaan pelbagai cabang ilmu.


Selain itu, pengukuhan kefahaman agama dalam kalangan anak muda Muslim juga mestilah ditingkatkan dalam menghadapi cabaran akidah dan isu-isu keagamaan masa kini yang mampu menggugat pemikiran dan jati diri mereka. Hal ini adalah kerana perkembangan budaya hedonisme semakin menular dan membawa pengaruh negatif terhadap golongan muda khususnya yang beragama Islam. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan masih ada budaya negara asing yang baik dan mulia seperti menepati masa dan menjaga kebersihan kawasan setempat walaupun mereka tidak didedahkan dengan kalimah tauhid dan ajaran Islam yang turut mengajar nilai-nilai murni seperti ini. Tuntasnya, pengetahuan dan penghayatan ilmu agama yang mampan sudah tentu mampu memberi panduan buat anak muda Muslim bagi membezakan antara hak dengan batil sebelum mengamalkan sesuatu budaya.

Akhirul kalam, harapan saya sebagai seorang pemuda Muslim adalah untuk melihat kesinambungan legasi Sultan Muhammad Al-Fateh diteruskan oleh kita semua. Kisah-kisah perjuangan baginda juga haruslah kerap dipaparkan di kaca televisyen mahupun diterbitkan dalam media cetak bagi meningkatkan pengetahuan anak muda Muslim mengenainya di samping mengambil semangat perjuangan baginda dalam mengharumkan dan membela kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Semoga hasrat yang murni ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya.

RUJUKAN

Muhammad Syaari Abdul Rahman. 2014. Berfikir Gaya Al-Fateh. Batu Caves: PTS Millennia Sdn. Bhd.

#TokohBossummit #Boss18

*Artikel ini telah berjaya menobatkan penulis sebagai Johan Pertandingan Penulisan Artikel Tokoh Pemuda Muslim Sempena Persidangan Bosphorus 2018

Comments

Popular posts from this blog

Atatürk: Mencari Makna Di Balik Gelar

A Small Adventure on Uncle Sam's Land 5.0

A Small Adventure on Uncle Sam's Land 2.0