Ulasan Filem: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
SINOPSIS
Mengisahkan cinta seorang pemuda kampung yang tidak kesampaian, Zainuddin apabila kekasihnya, Hayati berkahwin dengan lelaki hartawan, Aziz kerana harta tetapi bukan kerna cinta sejati. Pada saat itu, Zainuddin sangat tertekan kerana cintanya ditolak oleh ahli keluarga Hayati serta pemimpin kampungnya kerana beliau seorang pemuda yang miskin dan bukan keturunan Minangkabau Asli. Namun, setelah saudaranya, Muluk memberikan kata-kata semangat untuk beliau bangkit semula, Zainuddin bangkit dari kekecewaannya dan berpindah ke Kota Batavia (kini dikenali sebagai Jakarta) untuk menjalani hidup yang baru. Di sana, beliau menempa nama selaku pengarang yang masyhur yang berjaya menghasilkan banyak mahakarya atau 'masterpiece' yang menjadi sebutan ramai. Antara karyanya yang agung ialah Teroesir yang menceritakan kembali kisah hidupnya yang perit dan cinta tak kesampaiannya dengan Hayati. Apabila Zainudin berpindah ke Surabaya, beliau menjadi pengurus syarikat percetakan di sana dan menerbitkan lebih banyak karya. Dengan takdir Yang Maha Kuasa, Zainuddin bertemu kembali dengan Hayati dan Aziz di Surabaya ketika pementasan teater berdasarkan karyanya, Teroesir yang mana beliau menjadi sutradaranya. Mereka (Hayati dan Aziz) sangat kagum dengan pencapaian Zainuddin. Pada suatu ketika, Aziz dan Hayati memohon pertolongan Zainuddin untuk tinggal di kediamannya kerana harta dan rumah mereka telah disita oleh sebab ketamakan Aziz yang bermain judi.
Beberapa bulan kemudian, Aziz jatuh sakit selama 10 hari dan seterusnya, beliau merancang untuk mencari kerja bagi meneruskan kehidupan lantaran beliau sangat malu kepada Zainuddin yang berlaku baik terhadapnya dan Hayati dan meminta kebenaran Zainuddin untuk meninggalkan Hayati di rumahnya sementara beliau mencari kerja. Semasa ketiadaan Zainuddin di kediamannya, Muluk membawa Hayati masuk ke pejabatnya tanpa pengetahuannya walaupun Zainuddin melarangnya. Dalam pejabat tersebut, tergantung satu potret wanita kampung berselendang yang sangat ayu wajahnya. Pada waktu itu, Hayati menangis mengenangkan dirinya yang dahulu sangat sopan dan menjaga tatasusila sebagai wanita. Namun, setelah berkahwin dengan Aziz, Hayati hidup dalam kemewahan dan kehidupannya serba moden. Pada hakikatnya, Hayati masih lagi menyintai Zainuddin.
Beberapa hari kemudian, Hayati menerima sepucuk surat dari suaminya yang mengatakan beliau melepaskannya untuk kembali kepada Zainuddin dan membunuh dirinya dengan menelan ubat dengan banyak (overdose). Hayati menjadi tidak keruan. Pada suatu ketika, Zainuddin memanggil Hayati setelah mengetahui akan hal itu. Hayati merayu kepada Zainuddin untuk kembali menerima dirinya. Namun, akibat ego dan pendiriannya yang tetap, Zainuddin menolaknya dan menghulurkan bantuan wang kepadanya untuk pulang ke kampung halamannya dengan menaiki kapal Van Der Wijck. Muluk menghantar Hayati ke pelabuhan Surabaya dan sebelum berpisah, Hayati mengirimi Zainuddin warkah terakhirnya melalui Muluk. Setelah kapal tersebut belayar, Muluk pun pulang ke kediaman Zainuddin dan pada saat itu, Zainuddin mengatakan kepadanya bahawa beliau sangat menyesal kerana melepaskan Hayati. Beberapa hari kemudian, mereka menerima khabar yang tidak baik apabila Kapal Van Der Wijck telah karam dan para penumpang yang berjaya diselamatkan ditempatkan di sebuah hospital. Zainuddin dan Muluk bergegas ke sana untuk mengetahui keadaan Hayati. Setibanya mereka di hospital, beliau segera mencari Hayati dan akhirnya, mereka berjumpa dengan Hayati yang terlantar di atas katil dalam keadaan lemah kerana kecederaan yang dialaminya ketika hampir lemas. Hayati sempat menyatakan bahawa ia masih menyintai Zainuddin dan sangat tenang apabila mengetahui bahawa Zainuddin masih lagi menyintainya. Akhirnya, Hayati menghembuskan nafas terakhir dan Zainuddin meraung kesedihan. Jenazah Hayati disemadikan di sebuah taman yang indah. Beberapa bulan kemudian, Zainuddin berjaya menghasilkan karya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan membina sebuah rumah anakk-anak yatim dan menamakannya 'Rumah Anak-anak Yatim Hayati' bersempena dengan nama kekasih hatinya, Hayati...
ULASAN
Filem ini diaptasi daripada novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, mahakarya seorang ulama ulung di Nusantara, Allayarham Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karum Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA. Pada pendapatku, novel seperti inilah yang menonjolkan realiti sebenar alam percintaan yang memerlukan pengorbanan dan kesetiaan. Sememangnya karya-karya sastera lama seperti ini tiada tandingannya jika dibandingkan dengan novel-novel picisan yang lebih menonjolkan budaya hidup negatif kini. Tidak dinafikan bahawa novel-novel sastera kurang mendapat tempat dalam kalangan generasi muda masa kini. Oleh sebab itu, marilah kita bersama-sama kembali meneliti dan menghayati karya-karya agung ini agar kita dapat memartabatkan kembali sastera Melayu agar tidak ditelan arus modenisasi yang kian menghambat ini.
Akhirul kalam, saya sangat mengagumi sasterawan-sasterawan yang terus berjuang untuk memartabatkan sastera dan terus menghasilkan karya-karya ulung agar dapat dijadikan bahan bacaan generasi muda hari ini agar sentiasa mengingati dan menghargai warisan bangsanya. Marilah kita menghadiahkan Suratul Fatihah kepada Buya Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), permata Nusantara yang menghasilkan karya agung ini...
*Pendapat yang diutarakan hanyalah melalui kaca mata penulis...
Comments
Post a Comment
Ruangan Pembaca